Sg Naybor

Selasa, 16 Februari 2010

BEBERAPA KENYATAAN MENGHINA ISLAM OLEH PEMIMPIN UMNO DAN AKIBATNYA

Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:

i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:

“(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.”

Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.

ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.

Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:

“Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”

Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia boleh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.

Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.

Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?

Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?

Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.

Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.

Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.

Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.

Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.

Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?

Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).

Ahad, 14 Februari 2010

Kemana katak-katak Melompat

Berita yang sudah sekian lama didesas-desuskan tetapi masih belum jadi kenyataan. Berita yang aku maksudkan ialah keberangkatan keluarnya dua tiga kerat lahanat PKR daripada parti untuk ke mana aku pun tak tahu… Suka hati hangpa la…

Pagi ini, apabila baca Malaysiakini, berita tentang isu yang sama keluar lagi. Si Zahrain, plus dua tiga lagi, kononnya… akan umum keluar PKR untuk masuk semula bahtera lapok UMNO. Yang hat Cina sekoq tu, aku tak la, nak masuk apa. Whatever… berambuih pi la….

Weh… ini berita baik. Hoorey!! Hoorey!! Hoorey!! Yabedabedoooo…. katak dalam PKR akan melompat lagi. Syukur alhamdulillah…. maka moga bertambah kuranglah katak-katak dalam PKR dan hopefully PKR bebas katak menjelang PRU13 nanti, insyaAllah…

Anwar patut set satu target baru bagi PKR. Misi dan visi baru… sebagai tambahan kepada misi dan visi yang dah sedia ada. Target yang aku nak suggest ini, baik untuk memulihkan reputasi PKR.

Jeng… jeng.. jeng….

Zero-Katak dalam PKR!!! Rasionalnya… Ini untuk me’naik-dadak’kan semula imej PKR. Jadi dengan terkeluarnya dua ekor katak dari Perak… seekor dari Kedah… seekor dari Selangor dan kini dua tiga ekor dari Pulau Pinang… kita patut rasa bersyukur sangatlah. Inilah yang dikatakan pergolakan yang ada hikmah di sebaliknya. Kalau tak ada pergolakan…. kita mungkin tidak kenal species katak dalam PKR.

Well… lagi cepat katak-katak ini berambus dan pi mampusss…. lagi baik untuk PKR. Syuuuhh… syuuuuh…. pi cepat!! Aku luku hampa karang naya jer…

Ada orang kata, PKR dulu pun nak kutip katak juga. Remember…. 16 September??

Aha… ada bezanya PKR dengan UMNO/BN. PKR hanya mahukan katak yang ada MARUAH. Katak yang melompat kerana perjuangan untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Katak yang melompat, bukan untuk merebut kedudukan dan harta kekayaan buat diri sendiri.

Kita mahu katak yang melompat kerana RAKYAT…. bukan kerana WANG BERJUTA….bukan kerana JAWATAN DAN KEDUDUKAN!! Kita mahu katak yang ada kemahuan dan will power untuk bertukar menjadi INSAN MULIA, WIRA RAKYAT dan PENYELAMAT NEGARA!! Kalau tak sanggup, tak pa. Bye…bye.. No hal punyer!!

Nampak gayanya…. terbukti dalam tong berlabel UMNO, yang penuh taik….. tak ada katak yang mempunyai nilai-nilai murni serta qualiti yang kita inginkan. Oleh sebab, kita tak tawarkan wang berjuta… kita tak menjanjikan pangkat dan kedudukan, maka…. tak ada katak berjenama UMNO/BN yang melompat.

Dengan kekalnya mereka dalam parti tong taik…. rakyat tahu dan sedar siapa ‘mereka’ yang sebenarnya.

So… apabila ada katak-katak dari PKR yang nak melompat semula ke parti tong taik, fine… dipersilakan dengan segala hormatnya. Tak payah jadi sour grapes… menyalahkan orang itu dan orang ini, nak tuduh orang itu dan orang ini… Just be a gentleman and get lost. Kalau ada rezeki dan ada berani…. come PRU13 nanti or even now…. RESIGN dan bertanding semula and let the rakyat decide on your fate. Samada, rakyat terima kamu semula atau depa terajang hampa… terserahlah. Kita negara demokrasi what… Kita respek whoever the rakyat pilih!! Unlike ‘depa’ yang cakap tak serupa bikin.

As for TANZAHZUL…

PKR and the RAKYAT dah tak sabaq nak tunggu hangpa belah. Penantian itu satu penyiksaan. So… lagi cepat hangpa belah lagi bagus!! Adios… pengkhianat rakyat!!

Pemuda PAS bantah sambutan hari kekasih menara KL

Rusly Yasmin

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru umat Islam supaya tidak terlibat di dalam mana-mana sambutan sempena hari kekasih atau Valentine's Day pada 14 Februari ini.

Ketuanya, Kamaruzzaman Mohamad berkata, remaja negara ini perlu akur dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan meraikan sambutan Valentine bukan dari ajaran Islam.
"Kita risau sekiranya sambutan yang bakal diadakan diisi dengan program-program maksiat yang jelas bertentangan dengan Islam dan budaya timur.

"Ia juga menggalakkan budaya 'couple' secara bebas di kalangan anak-anak muda yang menyumbang gejala negatif di dalam negara kita dan bertentangan dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini," katanya yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, amalan meraikan Hari Kekasih diharamkan oleh agama Islam.

Kamaruzaman bersama beberapa orang Exco Pemuda PAS Wilayah sebentar tadi telah menyerahkan surat bantahan sambutan hari kekasih yang akan diadakan di Menara Kuala Lumpur pada Ahad ini.

Surat bantahan diterima oleh Mohd Zakhir Azam, Pengurus Perkhidmatan Pelanggan setelah perbincangan selama lebih kurang 30 minit. (gambar)

Pihak Menara KL telah menerima baik bantahan dan saranan Pemuda Wilayah dan menjelaskan beberapa perkara yang menimbulkan kekeliruan seperti laporan akhbar pada 11 Februari lalu.

Antaranya tawaran baucar hotel yang ditawarkan adalah baucar makanan dan bukannya baucar penginapan untuk pasangan kekasih tidur bersama pada malam tersebut.

Mohd Zakhir menjelaskan bahawa tidak ada minuman keras yang akan dihidangkan dan dijual pada malam sambutan tersebut.

Selain itu, pihak menara KL akan memastikan tidak ada ruangan bersendirian disediakan untuk pasangan melakukan aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

Pemuda PAS Wilayah turut menyarankan agar pada masa akan datang Menara KL menganjurkan program-program yang lebih bermanfaat kepada masyarakat khususnya anak-anak muda Malaysia.

Pada 11 Februari lalu, akhbar melaporkan bahawa sambutan hari kekasih yang akan disambut pada 14 Februari ini, buat julung kalinya Menara KL menjemput pasangan kekasih meraikannya di pelantar terbuka menara KL berketinggian 300 meter itu.

Barisan Nasional (BN) Cambah Pusat Maksiat

Harakahdaily

MELAKA, 12 Feb: Rakyat mesti membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang kerana jelas kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menangani gejala maksiat termasuk pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.

Ketua Penerangan PAS negeri, Sofi Wahab berkata, rakyat negeri ini juga bertanggungjawab terhadap gejala maksiat yang berlaku itu kerana memilih kerajaan BN yang seolah-olah memandang sebelah mata akan hal itu.

“Kita bimbang dengan statistik yang dikeluarkan oleh jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) baru-baru ini yang menyatakan bahawa 393 anak luar nikah dilahirkan di Melaka tahun 2009 dan 388 pada tahun 2008.

“Apakah kerajaan ini ingin terus membiarkan perzinaan dan dosa besar ini terus berleluasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitupun beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyifatkan insiden penemuan mayat bayi perempuan di tepi pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, di sini kelmarin sebagai amat mendukacitakan.

“Namun saya mengharapkan kerajaan negeri bukan setakat memberi cadangan supaya anak-anak malang sebegini dihantar ke rumah kebajikan tetapi yang lebih penting mencari punca sebenar mengapa bertambahnya anak-anak luar nikah bertambah di negeri ini saban tahun,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri yang berkuasa mesti mengambil tindakan serius bagi mengurang dan membasmi perbuatan dosa besar iti di mana punca-punca maksiat yang mungkin menjadi pendorong kepada zina mesti ditutup dan dihentikan.

Di Melaka, ujarnya terlampau banyak pusat maksiat seperti premis-premis pelacuran, kelab-kelab malam, pub, dangdut dan sebagainya di samping tempat rekreasi seperti pantai, air terjun, taman-taman dan sebagainya menjadi tempat anak-anak muda berdua-duaan tanpa segan-silu.

Selain itu, katanya rumah-rumah urut bercambah dengan banyak, program-program maksiat iaitu percampuran lelaki dan wanita juga sentiasa diadakan malah ianya dianjurkan sendiri oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan negeri.

Justeru, katanya sudah sampai masanya kerajaan negeri menutup segala tempat-tempat maksiat yang menjadi tempat merebaknya mukaddimah zina dan seterusnya perzinaan.

GST yang masih kabur dan tidak menentu

http://drdzul.wordpress.com

Sekali lagi Menteri Kewangan Kedua membuat pengumuman tentang GST atau Cukai Barang dan Perkhidmatan. Umum mendapati bahawa terlalu banyak kekeliruan dan tidak pernah dibentang secara penuh maklumat tentang hal GST ini.
Hakikat ini diakui oleh beberapa pihak perunding professional termasuk persatuan seperti Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) seperti didedahkan oleh pelbagai penulisanin majalah bisnes dan ekonomi tempatan seperti ‘The Edge Malaysia’, Malaysian Business dll.

Pengumuman mutakhir ini menyebutkan sekali lagi bahawa beberapa barangan dan perkhidmatan asas seperti bahan makanan, kediaman, pendidikan, perkhidmatan, pengangkutan awam dan penggunaan bekalan air dan elektrik pada kadar tertentu tidak tertakluk kepada GST.

Umum perlu tahu bahawa apakah barang dan khidmat yang terkecuali dan mendapat pelepasan (tax exempted) dan apa pula yang berkadar sifar (zero rated) serta pihak yang terlibat dalam seluruh rantaian perniagaan juga mahu tahu apa yang dimaksudkan dengan pembayaran balik cukai (refund). Pokoknya masih banyak perkara yang kabur, dengan tidak termasuk faktor sistem GST ini yang amat rumit dan cukup‘complicated.

Namun dalam jua perubahan sistem, khasnya GST, pengurusan dan proses pendidikan itu akan tentunya memakan waktu. Pengilang, pemborong mahupun perunict ingin tahu tentang kekerapan bayaran atau pun tuntutan atau bayaran balik yakni sistem refund, andainya cukai ‘input’ melebihi ‘output’ yang sekaligus akan mempengaruhi aliran tunai mereka.

Pun begitu, dari perspektif Badan Bertindak Anti-GST Pakatan Rakyat, bantahan dan tentangan kami adalah jelas dan tegas.Kami sedar bahawa kerajaan BN yang sedang menanggung bebanan hutang kerajaan Persekutuan yang tinggi (RM 348bilion atau 54% dari KDNK) pada tahun 2009. Peningkatan RM50.5 bilion berbanding 2008 ini merupakan tambahan hutang sebanyak 450% berbanding peningkatan RM9.2 bilion dalam tahun 2005 atau 4 tahun lalu.

Pada waktu yang sama sudah 13 tahun kerajaan Pusat mengalami defisit belanjawan dan telah membelon 7.4% dari KDNK pada tahun 2009, meskipun yg diramal hanya 3.6% pada pembentangan Bajet dalam tahun 2008. Kini kerajaan Pusat sangat-sangat tertekan dan tidak punya pilihan lain kecuali untuk mendapat sumber pendapatan baru.

Pergantungan kepada hasil minyak dan gas Petronas sudah sampai kepada paras tidak wajar. Petronas menyumbang 44.6% dari hasil pendapatan negara sehingga kini.

Dua perkara dilakukan dalam bajet 2010 bagi menambah pendapatan. Pertama mengurang subsidi dan kedua mengambil pendekakan menambah pendapatan dari sistem cukai. Ini kaedah atau pendekatan Fiskal namanya .

Ura-uranya kerajaan juga akan menggunakan kaedah Monetari juga dengan menaikkan kadar faedah (interest rate) yang telah pun mula diwawarkanoleh Bank Negara Msia (BNM). Namun ia tidak mendatang peningkatan hasil atau poendapatan yang langsung atau segera.

Badan Bertindak GST sekali lagi menegaskan bahawa kami tidaklah menentang GST di segi sistem pencukaian baru, meskipun ia tetap bersifat regresif atau memangsakan golongan berpendapatan rendah dan mungkin menguntungkan golongan berpendapatan tinggi. Perkara ini amat tergantung bagaimana sesebuah kerajaan menglah dan melaksanakan sistem cukai ini.

Kami sedar bahawa sistem GST ini boleh dicerakin dan diatur untuk mengelakkan kesan dan akibat ’regresif’ tersebut. Sekarang ini pun kerajaan telah mula meneliti seperti diwawarkan oleh Menteri di atas.

Akan tetapi kalau terlalu banyak barang-barang keperluan dan perkhidmatan seperti yang disebutkan oleh Menterinnya mahu dikecualikan atau diberikan ’pengecualian’ atau ’sifar cukai’ maka matlamat untuk mendapatkan penambahan pendapatan sebanyak RM1bilion dari sistem cukai GST ini berbanding cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang lama (SST) akan pasti tidak kesampaian. Ini menjadikan segala susah payah pengenalan sistem cukai ini tidak tersasar dan matlamat ini tidak tercapai.

Mentelahan kadar cukai jualan lama ialah 5% dan kadar cukai perkhidmatan lama ialah 10% dan kadar cukai GST bermula dengan 5%. Ataukah Menteri akan menggunakan ini sebagai alasan dan sebab untuk menaikkan kadar GST dalam waktu yang terdekat. Kuasa ini telah diperuntukkan dalam Rang-Undang GST ini. Menteri boleh dalam klausa rang undang-undang 10 (2, a dan b) melalui perintah yang disiarkan dalam ’Warta’ (a) menetapkan kadar cukai yang akan dikenakan ke atas pembekalan barang atau perkhidmatan dan (b) Mengubah atau meminda kadar cukai..

Ini mencemaskan rakyat dan Pakatan!

Sebab itu, Badan Bertindak Anti-GST Pakatan bertegas dengan pendirian kami bahawa pengenalan GST ini mestilah didahulukan dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Mengizinkan rakyat mengalami apa yang disebutkan dengan isitilah peralihan kepada ’regim pendapatan yang lebih tinggi’ dengan ekoonomi negara keluar dari perangkap ”regim berpendapatan rendah-sederhana’, dalam satu model ekonomi baru yang akan dibentang kan oleh kerajaan.
2. Kerajaan mesti berani untuk melonjakkan negara dengan peralihan ini dan tentunya ia mesti disekalikan dengan meningkatkan produktiviti dan kegiatan nilai-tambah yang lebih tinggi berdasarkan dan berbekalkan warga kerja yang berpengetahuan. Ini lah penegasan Badan Bertindak Ani-GST Pakatan dan pendekatan ini mesti mengambil kaedah yang integrated bersekali dengan reformsi sistem pendidikan yang lebih berdaya saing.
3. Menutup punca-punca ketirisan dan kebocoran di segi ’delivery’ atau sistem penghantaran yang lebih eifisian dan efektif dengan menangani rasuah dan kronisme khususnya disegi kegiatan perolehan GLCs dan agensi-agensi kerajaan.
4. Menghentikan pendirian yang bersifat berbolak-balik atau ’flip-flop’ khususnya dalam pengendalain projek-projek mega kerana tanggungan kos pinjaman dan kewangan yang tinggi seperti yang berlaku dalam kes ’landasan berkembar’, PKFZ dsbnya.



Kerajaan wajar faham bahawa negara belum benar pulih dan akan mengalami pelbagai kesan dari pengurangan peruntukan belanjawan 2010. Mutakhir, kesan kepada sekktor pendidikan dan pelbagai impak buruknya telah mula disaksikan.

Saya ingin ingatkan kerajaan ’Apakah mereka sedar akan akibat dari potongan belanjawan 2010, pelbagai kesan sedang ditanggung oleh rakyat, khususnya pendidikan dan sektor awam.Ada pihak awam yang memotong sehingga keparas 20% perbelanjaan mereka. Kesemua ini akan menggigitkan dalam tahun 2010 ini. Cuepac telah mengkritik kerajaan kerana memberhentiakn 5000 pekerja kontrak yang telah berkhidmat selama 10-15 tahun.

Pada waktu yang sama CAP telah melaporkan bahawa barang barang keprluan mengalami peningakatan sehingga 40-140% dalam satu tinjauan yang meeka lakukan. Ini meletakkan persoalan untuk menangani one-off inflasi akibat pengenalan GST apabila ia dilaksanakan menjadi satu bahan jenaka, kerana ada atau tidak GST, jelas inflasi tak boleh dikawal kerajaan. Tambahan kalau dengan GST yang dikenakan dengan tidak mencermati keperluan rakyat, maka akan bertambah parah lagi.

Possibly related posts: (automatically generated)

* Projek Hidro Elektrik Bakun – TNB terbeban lagi?
* Penduduk mohon selesaikan masalah berbangkit
* MP PAS Kuala Selangor: Bahas peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar…

Dr Dzulkefly Ahmad,
Ahli Parlimen Kuala Selangor,
AJK PAS Pusat,
Ahli Badan Bertindak Anti-GST Pakatan Rakyat.

Masyarakat Tionghua pengaruhi lanskap politik baru

Harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Feb: Masyarakat Tionghua di Malaysia dianggap telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, peranan itu turut didokong kaum-kaum lain termasuk orang Melayu dan India.

“Kita telah bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua,” katanya yang juga Menteri Besar Kelantan dalam perutusan Tahun Baru Cina hari ini.

Berikut adalah perutusan beliau:

Saya ingin mengucapkan kepada semua masyarakat berbangsa Tionghua dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina yang jatuh pada 14 Febuari 2010. Selamat Tahun Baru.

Perayaan Tahun Baru Cina adalah satu perayaan yang penting di kalangan masyarakat Tionghua dan mengikut kalendar Cina tahun ini adalah tahun harimau.

Harimau melambangkan keberanian, diharapkan boleh menjadi satu pendorong untuk masyarakat Tionghua lebih ke hadapan di dalam apa jua bidang.

Sesungguhnya masyarakat Tionghua khususnya di Malaysia telah memainkan peranan yang penting dalam membentuk dan mempengaruhi lanskap politik baru di negara kita dengan dokongan kaum-kaum lain termasuklah orang-orang Melayu dan India.

Kita telah bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman buat semua.

Islam sebagai agama yang tidak pernah mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Lantaran itu, Islam memerintahkan agar berlaku adil kepada semua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Semua pihak mendapat hak di sisi Islam. Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain melainkan dengan takwa.

Lantaran itu, mewakili pimpinan kerajaan Kelantan, saya sentiasa ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa Islam yang menjadi dasar pemerintahan kerajaan tidak akan sama sekali menjadi penyebab berlakunya ketidakadilan dan diskriminasi, bahkan akan sentiasa menjadi penyelesai kepada masalah dengan dasar yang adil dan saksama.

Semoga masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan khususnya terus memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk mentadbir negeri dengan sebaik-baiknya.

Akhir kata, Gong Xi Fa Cai kepada semua.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan/Mursyidul Am PAS

Selasa, 9 Februari 2010

Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin [ demokrasi93.blogspot.com ]

Al-Noor

Al-Noor

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Ini ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya). (1) Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (2) Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (3) Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (4) Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (5) Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar. (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika dia dari orang-orang yang dusta. (7) Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. (8) Dan sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (9) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi). (10) Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat). (11) Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata. (12) Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. (13) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. (14) Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya. (15) Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan. (16) Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman. (17) Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (18) Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (19) Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta). (20) Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah!) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (21) Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (22) Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar; (23) Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. (24) Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya. (25) (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (26) Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). (27) Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (28) Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan. (29) Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. / (31) Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (32) Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian) dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. / (33) Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa. (34) Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. / (35) (Nur hidayat petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (36) (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37) (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung. (38) Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya. (39) Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar). (40) Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (41) Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk). (42) Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya; lalu Dia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan. (43) Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir. (44) Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (45) Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti) dan Allah memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus. (46) Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat; kemudian sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman. (47) Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka). (48) Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya). (49) (Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur) atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman) ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka). (50) Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (51) Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (52) Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya: Bahawa jika engkau (wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad), tentulah mereka akan keluar. Katakanlah: Janganlah kamu bersumpah, (taat kamu itu) taat yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. (53) Katakanlah lagi (kepada mereka): Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayat petunjuk dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata. (54) Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. (55) Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat. (56) Janganlah engkau menyangka orang-orang kafir itu akan dapat melemahkan kekuasaan Allah (daripada menimpakan azab kepada mereka) di dunia, sedang tempat kembali mereka ialah Neraka dan sesungguhnya Neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (57) Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. / (58) Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (59) Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (60) Tidak ada salahnya bagi orang buta dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki dia berlaku demikian) dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri atau di rumah bapa kamu atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa) atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu) atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya. / (61) Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (62) Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (63) Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia) dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Dia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu. (64)

Islam Dan Sistem Kewangan Antarabangsa Bah. 3

Islam Dan Sistem Kewangan Antarabangsa Bah. 2

Islam Dan Sistem Kewangan Antarabangsa Bah. 1

Islam Dan Sistem Kewangan Antarabangsa Bah. 11

Selasa, 2 Februari 2010

Tekad Mengharungi Gelombang Fitnah

Sekembalinya dari Manila semalam, saya berkesempatan mengunjungi ayahanda di kediamannya sebelum ke majlis anjuran ABIM yang dilansungkan di Kajang. Pertemuan ini sungguh bermakna kerana ianya dihadiri sahabat seperjuangan dekad 70an dan awal 80an dahulu dan disertai lapisan pimpinan muda yang bersemangat. Paduan generasi sebegini, inshaallah akan memantapkan lagi dakwah dan usaha ABIM menyampaikan mesej Islam yang sejagat.

Antara sahabat lama yang hadir ialah Sdr Siddiq Fadhil, Sdr Idris Jauzi, Ustaz Abdul Halim El Muhammady, Sdr Ridhuan Othman dan Sdr Muhd Nur Manuty. Alhamdulillah ukhuwwah di antara kami ternyata kukuh sungguhpun kadangkala ada perbezaan pendapat. Saya juga mengambil kesempatan, selain dari menghimbau pengalaman lalu dengan tokoh seperti almarhum Muhammad Natsir, Profesor Syed Naguib, almarhum Profesor Syed Hussein Alatas dan almarhum Profesor Ismail Raji Al Faruqi mengungkapkan kepentingan organisasi Islam untuk kekal relevan di zaman ini.

Demonstrasi Baling antara bukti kesejagatan mesej dakwah menuntut keadilan dan menumpaskan kezaliman. Ianya juga merupakan upaya yang melintasi sebarang sempadan fahaman serta kepercayaan. Saya juga terharu keperihatinan teman-teman terhadap fitnah yang ditohmahkan ke atas saya dan keluarga. Moga dengan berkat doa semua, inshaallah saya dan keluarga, dapat mengharungi ujian Allah SWT ini.

Fitnah yang dipintal membuktikan pimpinan umno-barisan nasional bersungguh-sungguh mahukan saya dihumban ke dalam penjara. Siang malam media yang dikongkong mengolah propaganda bertujuan merasuk minda dan nurani rakyat. Saya digambarkan kononnya takut berhadapan dengan mahkamah dan sengaja melengah-lengahkan perbicaraan.

Aduhai, janganlah kerana nak mengampu, integriti dan maruah diri digadaikan. Apa yang saya dan barisan peguam pembela lakukan adalah untuk menuntut keadilan dilaksanakan sepenuhnya. Kami menuntut satu proses perbicaraan yang adil serta bebas. Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen serta bukti sesuai dengan peruntukan seksyen 51A Kanun Acara Jenayah menzahirkan hasrat mereka untuk menjadikan perbicaraan ini umpama satu serangan hendap, sedangkan ini bersalahan dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang menuntut agar kes ini dibicarakan secara adil.

Kelihatannya serangan bertali arus dan usaha memenjarakan saya bertujuan memporak perandakan Pakatan Rakyat. Namun mereka lupa, ikatan yang mengikat perjuangan Pakatan Rakyat berasaskan kemahuan dan cita-cita membawa Perubahan kepada negara ini.

Kita sedar di sebalik sogokan muluk-muluk oleh kerajaan yang diperintah umno-barisan nasional, negara sebenarnya berada di kedudukan yang tenat. Ekonomi tidak memperlihatkan keupayaan yang menyegarkan dan hubungan antara kaum meruncing. Harga barang semakin meningkat dan apa yang mampu dilakukan oleh pimpinan negara hanyalah menasihati rakyat agar cermat berbelanja serta menggesa kita untuk perihatin dengan saudara kita yang lain.

Akan tetapi persoalannya, apakah upaya pemimpin, ketika negara memerlukan pimpinan membawa rakyat keluar dari kemurungan? Jawapannya tidak ada! Tidak ada tindakan yang jitu, berkeyakinan dan imajinatif. Semuanya serba kaku.

Di sebalik tohmahan akan kelemahan muafakat ini, kita sudah berjaya melahirkan dokumen bermakna yang dikenal sebagai “Dasar Bersama Pakatan Rakyat.” Ianya dilakarkan selepas perdebatan dan perbincangan secara terus terang demi menggarap hala tuju negara. Proses bersejarah itu bahkan mematangkan serta memperkukuh kerjasama di antara kami. Yakinlah muafakat ini bukanlah satu ikatan rapuh bahkan mampu memimpin negara keluar dari kelesuan yang sekian lama menghinggapinya.

ANWAR IBRAHIM

Rakaman Sidang Media Anwar Di Mahkamah